Malaysia kini sangat rentan dan kerentanan ini adalah disebabkan oleh tindakan kerajaan-kerajaan masa lalu yang telah mengabaikan keperluan sektor pertanian dan menitikberatkan pertanian komoditi, bukan tanaman makanan. Krisis keterjaminan makanan di Malaysia bukanlah krisis semata-mata—ia merupakan sebuah realiti yang kini mengancam setiap rakyat Malaysia.
Mewujudkan skim tanah pertanian kekal untuk petani dan pesawah
Pelaksanaan kerangka bagi mewartakan tanah penghasilan makanan yang kekal adalah kritikal bagi memastikan sektor pertanian di Malaysia mempunyai stok tanah pertanian yang kekal bagi menjamin keterjaminan makanan di Malaysia. Sistem tersebut perlulah dilaksanakan melalui perolehan tanah kerajaan negeri oleh pihak kerajaan persekutuan.
Merombak undang-undang tanah Malaysia yang lapuk
Kerajaan harus melaksanakan semakan yang mendalam dan holistik terhadap setiap undang-undang tanah di Malaysia dan merombak sistem sedia ada yang lapuk sekaligus menindas para petani dan nelayan. Reformasi utama yang perlu dilaksanakan dengan segera adalah pemanjangan tempoh maksimum lesen pendudukan sementara (temporary occupation licence) daripada 1 tahun ke 5 tahun.
Ketelusan bagi urusan tanah kerajaan negeri
Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama bagi melaksanakan mekanisma ketelusan yang meluas berkenaan urusan jual-beli tanah kerajaan negeri bagi memastikan rakyat, terutamanya kaum penghasil makanan, sentiasa sedia maklum tentang hak milik dan urusan penjualan tanah oleh pihak kerajaan negeri.
Subsidi bagi mengekalkan tanah pertanian
Sistem subsidi daripada kerajaan persekutuan ke kerajaan negeri perlu dilaksanakan supaya kerajaan negeri dapat mengekalkan tanah pertanian sekaligus memastikan kewujudan tanah pertanian yang dapat digunakan untuk meningkatkan kadar kecukupan makanan di Malaysia.