Pertanian bandar tidak perlu rumit, sukar, atau mahal! Dengan menggunakan barang-barang isi rumah yang boleh dikitar semula, beberapa item pusat kebun, serta sedikit usaha dan masa, anda boleh mengubah sebarang tanah yang tidak digunakan menjadi ladang bandar yang subur untuk menghasilkan hasil segar dan berkualiti untuk semua!
Apa itu Pertanian Bandar?
Pertanian bandar merujuk kepada pelbagai aktiviti pertanian yang dijalankan dalam suasana bandar. Ia boleh merangkumi dari taman sayur kecil hingga ladang ayam dan ikan yang besar, sama ada dalam suasana bandar yang ditinggikan atau dalam suasana bandar yang lebih pinggir. Panduan kami akan memberi tumpuan kepada penciptaan ladang sayur dalam suasana bandar, seperti di dalam kompleks apartmen atau blok flat!
Langkah Permulaan
Membuka kebun bandar untuk pertama kali mungkin menakutkan bagi sesetengah orang, tetapi jangan risau, anda boleh bermula dulu dengan skala kecil dan memperluaskan kebun anda sedikit demi sedikit. Berkebun sebenarnya lebih mudah daripada yang anda fikirkan, dan anda boleh mempunyai ladang bandar yang besar dan subur yang boleh anda urus bersama-sama dengan komuniti tempatan anda dalam jangka masa yang pendek.
Langkah 1:
Mencari tapak kebun yang sesuai
Anda hanya memerlukan sebidang tanah yang tidak digunakan dengan banyak cahaya matahari. Kami mencadangkan kawasan berumput seperti tepi jalan atau median, tetapi kawasan tanpa rumput juga boleh digunakan, kerana anda boleh menggunakan kotak penanam atau pasu untuk memulakan ladang anda. Yang anda perlukan adalah cahaya matahari!
Langkah 2:
Menentukan tanaman yang anda ingin tanam
Kami mencadangkan sayur-sayuran berdaun tempatan seperti pak choy, choy sum, sawi, dan kangkung. Tanaman ini tumbuh dengan cepat dan boleh ditanam dalam cuaca panas Malaysia. Herba seperti ulam raja dan pegaga juga sesuai. Benih untuk tanaman ini mudah didapati di pusat-pusat kebun dan pasar raya.
Langkah 3:
Menyediakan tapak kebun anda
Jika anda menggunakan pasu atau kotak penanam, pastikan anda telah membersihkan tapak tanah yang anda pilih untuk membolehkan akses yang lebih baik serta mengurangkan tempat pembiakan serangga perosak. Jika anda bekerja dengan tapak berumput, anda perlu membersihkan tapak daripada rumput liar atau tumbuhan besar. Setelah anda melakukan itu, anda perlu mengudarakan tanah tersebut dengan menggali tanah untuk menyediakan penaburan benih yang anda telah pilih.
Walaupun ideal untuk anda menguji tanah (soil testing), masa dan kos yang berkaitan dengan ujian tanah mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang. Jangan risau, tanah Malaysia secara amnya sesuai untuk tujuan pertanian. Namun, kami menggalakkan anda untuk menguji pH tanah untuk memastikan ia tidak terlalu asid atau terlalu bes untuk tujuan pertanian.
Langkah 4:
Menanam benih anda
Apabila anda sudah bersedia, tentukan satu baris di tanah di mana anda ingin tanaman anda tumbuh. Kemudian, gali jalur kecil di sepanjang baris tersebut dengan kedalaman 0.5 – 1 cm di mana benih anda akan diletakkan. Kemudian, letakkan beberapa biji benih, dan ulangi, dengan memberi jarak kira-kira 5 – 10 cm di antara setiap kumpulan benih. Kemudian, letakkan tanah di atas benih dan siram dengan air. Kaedah ini berkesan jika anda menanam tanaman anda dalam kotak penanam juga!
Jika anda menanam tanaman anda dalam pasu, maka hanya letakkan benih ke dalam tanah dan anda sudah siap!
Langkah 5:
Struktur dan penyelenggaraan
Penyiraman yang konsisten adalah kunci untuk memastikan tanaman anda dapat tumbuh. Menyiram tanaman sekali seminggu adalah lebih daripada mencukupi. Kami juga menggalakkan penggunaan baja, tetapi berhati-hati untuk tidak menggunakan baja yang berlebihan. Jumlah baja yang kecil sudah mencukupi! Empat hingga lima butir baja sudah cukup untuk pasu kecil. Satu sudu boleh menjadi terlalu banyak. Kami menggalakkan anda untuk membina struktur jaring di atas tanaman anda untuk menghindari serangga perosak. Kaedah kawalan serangga ini lebih baik berbanding penggunaan racun perosak kimia, yang mungkin tidak sesuai dalam persekitaran yang lebih kecil.
Langkah 6:
Penuaian
Untuk tanaman-tanaman hijau berdaun seperti kangkung dan sawi, tanaman anda boleh dituai dalam tempoh masa 5 bulan sahaja! Setelah anda mendapat hasil yang memuaskan, anda boleh memetik tanaman anda dari tanah. Anda kini mempunyai sayur-mayur yang segar dan sedia untuk dimakan.
Menaik taraf!
Apabila anda sudah bersedia untuk memperluaskan kebun bandar anda, anda boleh mula mempertimbangkan kaedah pertanian lain yang mungkin sesuai bergantung keadaan anda.
Hidroponik
Kebun hidroponik sangat baik terutamanya jika anda mempunyai ruang yang kecil. Ladang hidroponik tidak memerlukan tanah tetapi menggunakan air sebagai medium pertumbuhan yang dicampur dengan larutan hidroponik, iaitu gabungan nutrien pertumbuhan yang diperlukan oleh tumbuhan berkembang.
Kami mencadangkan anda bermula dengan kit hidroponik kecil yang lengkap dengan larutan hidroponik yang dijual dalam talian atau di pusat kebun terdekat anda.
Pertanian Menegak
Jika anda kekurangan ruang tanah, pertanian menegak (vertical farming) mungkin sesuai untuk anda! Anda boleh menggunakan rak dengan ruang menegak yang mencukupi (antara 30 – 50 cm) atau membina rak dari kotak penanam yang diletakkan di atas satu sama lain dam diisi dengan tanah.
Langkah-langkah untuk menabur dan membesarkan tanaman anda akan sama dengan pertanian di tanah. Namun, ingatlah bahawa jenis tanaman yang sesuai untuk pertanian menegak berbeza daripada pertanian konvensional. Sebagai panduan, herba dan sayur-sayuran berdaun adalah yang terbaik!